JOHOR BAHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 27,000 kartun rokok putih dari Huangpu, China yang dianggarkan bernilai RM270,000 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini pada Khamis lalu.
Pengarah Kastam Negeri Johor, Datuk Ramli Johari berkata, rampasan dilakukan lapan pegawai dan anggota Kastam setelah memeriksa sebuah kontena di Bay Pemeriksaan Import kastam di pelabuhan itu, kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Katanya, seorang ejen perkapalan berusia 30-an yang menguruskan pengimportan barangan kes itu, juga telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai cukai ke atas barangan rampasan itu adalah sebanyak RM3.05 juta dan memandangkan rokok itu diimport dari luar negara maka disyaki ia merupakan rokok palsu namun menggunakan jenama rokok terkenal iaitu Dunhill dan Malboro,” katanya dalam sidang media, di sini Selasa.
Ramli berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat akuan tidak betul ke atas barang yang diimport dan akan dibacakan bersama Seksyen 26 Akta Zon Bebas 1990.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA