KUANTAN – Tourism Pahang buat julung kalinya akan menganjurkan kayuhan santai sejauh 84 kilometer bermula dari Temerloh ke titik tengah Semenanjung Malaysia di Kampung Paya Siput, Lanchang pada 23 Ogos ini.
Pengerusi Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata program ‘Fellowship Ride To The Centre of Peninsular Malaysia’ yang diadakan sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58 itu turut ‘menemukan’ dua dataran ikon pahlawan Pahang.
Dataran itu ialah Dataran Tok Gajah di Temerloh selaku tempat permulaan sebelum kayuhan berakhir di Dataran Datuk Bahaman di Lanchang, katanya.
“Peserta dapat melihat kehidupan di desa kerana mereka akan melalui kawasan kampung seperti Kampung Bangau Tanjung, Kampung Paya Jawi selain turut menghala ke Mentakab.
“Di Temerloh mereka juga dapat melihat sangkar-sangkar ikan Patin yang menjadi tanda pengenalan bandar itu,” katanya pada sidang media penganjuran program itu di Wisma Sri Pahang, semalam.
Mohd Sharkar berkata pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 500 hingga 600 peserta yang terdiri daripada anggota kelab basikal dan orang perseorangan, melibatkan basikal jenis jalan raya atau mountain bike.
Beliau menambah peserta juga digalakkan mengambil gambar secara ‘selfie’ pada program itu dan memuat naik gambar tersebut ke laman sosial Instagram beserta hashtag program kerana gambar paling menarik akan memenangi baucer pelancongan di Pahang.
Katanya, program kayuhan itu juga akan dijadikan sebagai acara tahunan dalam Kalendar Pelancongan Pahang kerana ia dapat mempromosikan destinasi pelancongan sekitar Pahang Barat, menerusi laluan yang berbeza setiap tahun.
Selain Tourism Pahang, program itu turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Daerah Temerloh, Persatuan Berbasikal Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh serta Majlis Perbandaran Temerloh.
Peserta yang berminat untuk menyertai kayuhan santai ini boleh mendaftar dengan menghubungi talian 012-9783978 atau menerusi e-mel di [email protected] sebelum 15 Ogos ini dengan kadar bayaran RM80 seorang. – BERNAMA