IPOH – Keluarga kepada ketua pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, Goh Sock Lay sudah dapat menerima kenyataan bahawa dia sudah pergi meninggalkan mereka.
“Kami sekeluarga sudah terima kenyataan yang dia sudah pergi meninggalkan kami. Emosi anak perempuannya sudah semakin stabil dan hidup juga perlu diteruskan,” demikian luahan abang ipar Goh yang hanya ingin dikenali sebagai Choi.
Choi, yang berumur lingkungan 50-an berkata walaupun Goh sudah tiada namun mereka sekeluarga tidak akan pernah melupakannya.
“Bila ada kelapangan, suami mangsa akan bawa anak perempuannya pergi melancong ke luar negara untuk mengurangkan tekanan emosi,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Tawas, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di sebuah rumah keluarga kepada penumpang MH370, Tan Ah Meng di Kampung Kanthan, Chemor, mendapati ia sedang diubah suai dan tidak berpenghuni.
Pesawat MAS Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
– BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=yLEjrazqpjU