BUTTERWORTH – Kerajaan persekutuan akan membantu anggota keluarga mangsa letupan bom di Bangkok, Thailand terutama anak mendiang Lee Tze Siang, Lee Jian Hen berkaitan kos pendidikan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata kerajaan juga akan sentiasa memantau dan membantu isteri mendiang Tze Siang, Neoh Yee Ling, 33, yang sedang mengandung enam bulan dan anak yang bakal dilahirkan termasuk bantuan pendidikan serta keperluan mereka.
“Kerajaan menerusi pemimpin tempatan di sini (wakil kerajaan persekutuan) akan sentiasa memantau keadaan mereka. Saya tahu Yee Ling masih bersedih dan trauma tetapi saya harap beliau tabah serta kuat menghadapi dugaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tze Siang, 35, dan anak perempuannya Lee Jing Xuan berusia empat tahun yang terkorban dalam insiden letupan berkenaan, hari ini.
Pada kunjungan itu, Mah yang juga Presiden Gerakan turut menyampaikan bantuan daripada kerajaan berupa wang tunai sebanyak RM10,000 bagi setiap mangsa terkorban dalam insiden berkenaan untuk menampung kos membawa pulang mayat dari Bangkok.
Selain Tze Siang dan Jing Xuan, turut terkorban dalam insiden berkenaan ialah ibu Yee Ling, Lee Siew Gaik, 49, dan adik lelakinya Neoh Jai Jun, 20.
Jasad Tze Siang dan Jing Xuan ditempatkan di rumah mereka di Taman Cengal, di sini dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Cina Sungai Lembu esok, manakala Siew Gaik serta Jai Jun dibawa balik ke Taman Dedap, di sini serta dijangka disemadi di tanah perkuburan yang sama pada Ahad.
Sementara itu, Mah berkata jasad seorang lagi mangsa iaitu ibu saudara Yee Ling, Lim Su See, 47, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 10.30 malam ini.
Katanya jasad wanita itu akan dibawa balik ke rumah ibunya di Taman Dedap, di sini.
Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat membeli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, lima rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.
Mereka antara 20 orang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas. – BERNAMA