ALOR SETAR – Malaysia meminta pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di negara ini berhenti daripada mengeluarkan kad pelarian secara sesuka hati.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pejabat UNHCR di negara ini perlu berhenti bertindak seperti “kerajaan di dalam kerajaan”, sebaliknya memaklumkan terlebih dahulu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen sebelum mengeluarkan kad pelarian tersebut.
“Pejabat UNHCR telah melakukan kesalahan, mereka mengeluarkan kad (pelarian) tanpa memberitahu KDN dan Imigresen. Mereka ini (UNHCR) macam kerajaan dalam kerajaan.”
“Mereka (pejabat UNHCR) tiada status diplomatik dan mereka kena berhenti serta-merta daripada keluarkan kad pelarian. Saya minta polis masuk (ke UNHCR) dan siasat bagaimana kad ini dikeluarkan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Shahidan yang antara lain bertanggungjawab terhadap urusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita Umno Bahagian Alor Setar Sabtu.
Malaysia katanya bukan antara negara yang menandatangani Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967.
Menurutnya, mana-mana warga asing yang mahu memohon status pelarian perlu mengikut saluran yang betul seperti yang ditetapkan undang-undang negara ini.
Ketika ini katanya, negara dibanjiri oleh 130,000 pelarian yang memiliki kad yang dikeluarkan pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.
Shahidan berkata, pejabat UNHCR di negara ini yang mengeluarkan kad pelarian dengan mudah kepada warga asing, perlu berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa negara ini.
Kerajaan menurutnya, tidak mahu mereka yang terlibat dengan jenayah di Myanmar sebagai contoh, datang ke Malaysia dan diberikan kad pelarian oleh UNHCR selepas melalui proses temuduga yang mudah.
Sebaliknya, Shahidan meminta Polis dan Jabatan Imigresen mengambil tindakan terhadap pemegang kad pelarian UNHCR ini dan menganggap mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Terbaru menurut Shahidan, terdapat 150 keluarga pelarian dikesan menceroboh tanah di Rompin dan tindakan mereka itu telah dilaporkan kepada kerajaan negeri Pahang.
“Kerajaan Pahang minta kita ambil tindakan, kita akan mengambil tindakan,” katanya.
Malaysia katanya, sudah tidak mampu untuk menampung kehadiran warga asing yang sudah terlalu ramai di negara ini dan mereka yang berjaya ditangkap perlu dihantar pulang ke negara asal dengan segera. – BERNAMA