SHAH ALAM – Seorang ketua kongsi gelap dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang mekanik dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Musa Yunus, 42, bahawa dia tidak kenal mangsa, R. Kumaran, serta tidak menendang dan menikamnya merupakan penafian semata-mata.
Dalam penghakimannya, Abdul Halim turut menolak pembelaan tertuduh bahawa dia dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan berpendapat segala penafian tertuduh tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sebaliknya, hakim itu berkata keterangan saksi-saksi pendakwaan begitu konsisten sekali terutama isteri mekanik itu yang melihat dengan jelas tertuduh menendang dan menikam suaminya.
“Menurut keterangan isteri mangsa, dia nampak tertuduh pukul mangsa guna tangan dan tiba-tiba dia nampak tertuduh tikam dada kiri mangsa guna pisau.
Ketika kejadian jarak mangsa dengan isterinya kira-kira 10 kaki (3.05 meter).
Selepas ditikam mangsa berlari ke arah isterinya dan isteri mangsa yang tidak berpuas hati bertanyakan kepada tertuduh kenapa dia pukul suaminya dan tertuduh menjawab “Kau nak apa?” sebelum dia (tertuduh) beredar dari tempat kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, Abdul Halim berkata pihaknya berpendapat isteri mangsa ialah saksi yang mempunyai kredibiliti dan tiada sebab untuk beliau meragui keterangan wanita itu.
Hakim itu juga berkata selain keterangan secara langsung oleh isteri mangsa, kes pendakwaan turut disokong oleh lambakan bukti mengikut keadaan daripada saksi-saksi pendakwaan yang lain.
“Justeru, hanya satu sahaja hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya.
Sejurus keputusan dibacakan, anggota keluarga tertuduh dilihat menangis dan berpelukan dengan tertuduh yang bekerja sebagai pengawal peribadi kepada seorang ‘Datuk’.
Musa didakwa membunuh Kumaran, 31, di tepi jalan di Selayang Baru dekat sini, pada 2.30 pagi, 23 Dis 2012.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Abdul Kadir Ismail. – BERNAMA
Polis papar logo 49 kumpulan kongsi gelap.