SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali didesak menjelaskan dengan terperinci kos pengambilalihan berhubung proses penstrukturan semula industri air di negeri itu yang dibimbangi memberi kesan kenaikan tarif air pada masa akan datang.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Pelabuhan Klang) berkata penjelasan itu sangat penting kerana dibimbangi akan berlaku peningkatan kos bagi pengambilalihan syarikat konsesi yang akan memberi kesan terhadap harga air seterusnya membebankan rakyat Selangor.
“Penjelasan yang dibuat Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) semalam hanyalah kos sebanyak RM2 bilion tetapi dia tidak tegaskan tentang baki kos pengambilalihan sebanyak RM7.65 bilion itu.
“Jika kerajaan negeri tidak dapat menjelaskan kepada rakyat pecahan kos RM9.65 bilion (tawaran asal dibuat kerajaan negeri berhubung pengambialihan) dan berlaku pula peningkatan kos, maknanya ia akan beri kesan pada harga air akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi DUN di sini Selasa.
Semalam, Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Kajang) berkaitan industri air di Selangor berkata rakyat Selangor berkemungkinan akan menanggung kenaikan tarif air pada masa akan datang setelah perjanjian utama penstrukturan industri air negeri itu dimuktamadkan termasuk pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi.
Dalam penjelasan lanjut, Mohamed Azmin berkata kenaikan tarif itu mungkin difikirkan untuk jangka masa panjang mengikut jangkaan kos pengambilalihan yang ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
“Perjanjian yang akan dimuktamadkan pasti mempunyai kos proses penstrukturan dalam memastikan perkhidmatan air yang berkualiti, namun kerajaan negeri tidak akan bebankan rakyat. Dalam usaha mengurangkan 35 peratus kadar air tidak terhasil (NRW) ketika ini, pastinya ia memerlukan kos yang besar bagi menangani perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor turut mencadangkan supaya proses pengambilalihan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga Berhad (PNB) dilakukan sekarang bagi memastikan perkhidmatan air untuk rakyat Selangor dapat dijalankan dengan baik.
“Kita tidak mahu terdapat keadaan yang mana pekerja tertunggu-tunggu dan tidak mendapat arahan tepat dalam memberi perkhidmatan air yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Mengenai kenyataan Mohamed Azmin bahawa kerajaan negeri akan meneliti semula program pemberian air percuma kepada rakyat, Abdul Khalid berkata: “Sebab itu Mohamed Azmin kena jelaskan jika kita dapat beli (ambilalih industri air Selangor) dengan RM9.65 bilion selain dapat atasi masalah pengurusan (syarikat konsesi) yang ada sekarang dan kurangkan NRW sudah tentu masalah kenaikan harga air tidak timbul”. – BERNAMA