SEMPORNA – Komuniti pesisir pantai di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diingatkan agar tidak menggadaikan maruah dan kedaulatan negara kepada orang luar dan sebaliknya mencintai serta memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta ini.
Ketika membuat seruan itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata rakyat Sabah, terutama komuniti ESSZone, bertanggungjawab memastikan negeri ini terus berada dalam keadaan aman dan damai.
Beliau berkata komuniti itu tidak sepatutnya memberi ruang dan perlindungan kepada penjenayah rentas sempadan yang cuba mendampingi penduduk setempat bagi mendapatkan sokongan moral dan perlindungan.
“Kita mahu hidup aman damai, ini negara kita, ini bumi kita, ini tempat kelahiran kita dan anak cucu kita. Jangan bagi ruang kepada musuh-musuh kita bertapak di bumi tercinta ini.
“Jadi, hiduplah cara harmoni, jaga kampung dengan baik, jangan bersekongkol atau menyebelahi musuh-musuh. Kita semua tanpa mengira bangsa, pangkat dan keturunan berperanan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan negara ini daripada diceroboh orang luar yang cuba mengganggu gugat kehidupan dan ketenteraman kita dengan melakukan kekacauan, pencerobohan bersenjata dan penculikan,” katanya.
Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra Komander ESSCom bersama masyarakat setempat di Pulau Mabul, malam tadi.
Turut hadir Pengarah Bahagian Tadbir dan Logistik ESSCom Brig. Jen. Dr Mohd. Kenali Basiron, Ketua Kampung Pulau Mabul Mohd Yusoff dan Pegawai-pegawai Kanan ESSCom.
Abdul Rashid berkata tindakan keras akan diambil terhadap mana-mana penduduk di kawasan itu yang didapati sengaja tidak melaporkan kehadiran ‘orang luar’ yang mencurigakan kepada pasukan keselamatan.
“Saya difahamkan ada di kalangan penduduk yang sanggup mengadaikan maruah dan harga diri dengan memberi perlindungan kepada penjenayah-penjenayah ini setelah disogok dengan sedikit habuan.
“Perlu diingat, tindakan ini akan memberi kesan yang buruk terutama kepada kehidupan anak cucu dan cicit kita pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA