PENGALAMAN menyertai Kejohanan Olahraga Dunia dalam acara larian 200 meter di Stadium Olimpik, Beijing, China mungkin menjadi kenangan yang paling tidak dilupakan oleh bintang pecut dunia, Usain Bolt.
Semuanya bermula apabila dia dilanggar dari arah belakang secara tidak sengaja oleh kenderaan dua roda Segway yang dinaiki oleh seorang jurukamera sebaik selesai acara lariannya.
Kemalangan kecil yang menimpa atlet tersohor di balapan venue yang terkenal diberi julukan ‘Stadium Sarang Burung’ itu turut berjaya dirakam oleh petugas media hingga menjadi viral di seluruh dunia.
Apatah lagi, ketika insiden itu, Bolt berjalan mengelilingi stadium meraikan kemenangannya dalam acara itu bersama ribuan penonton dalam gelanggang sebelum terjatuh tergolek akibat dilanggar kenderaan tersebut mencuit hati ramai.
Bagaimanapun, Bolt yang seakan terpinga-pinga selepas terjatuh dilihat pantas bangun sambil memeriksa kakinya.
Difahamkan, bintang dunia ini tidak mengalami sebarang kecederaan namun jurukamera yang melanggarnya mengalami sedikit kecederaan kecil.
“Saya tidak mempunyai insurans untuk kaki saya, tapi mungkin saya perlu memikirkannya selepas ini.
“Dia mengaku akan kesalahannya (jurukamera televisyen) itu dan kemudian saya memeriksanya, dia OK. Dia memohon maaf banyak kali. Dia mungkin cedera di kepala. Ada beberapa luka tapi saya OK,” katanya dalam sidang media selepas meraikan kejayaannya merangkul emas acara 200 meter itu.
Lebih mendukacitakan, Bolt mendakwa selepas berakhirnya acara perlumbaan, kasut spike miliknya dicuri oleh individu tidak dikenali ketika dia sibuk ditemu bual oleh pihak media. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=FgYLAoe8Z_4