KUALA LUMPUR – Biarpun teruk dikritik pelbagai pemimpin kerajaan dan parti pemerintah, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap dengan gaya tersendirinya apabila muncul sekali lagi dalam perhimpunan haram Bersih 4.0.
Berita mengenai kedatangan bekas perdana menteri itu sudah meluas disebarkan sejak awal pagi Ahad selepas ‘kejayaan’ beliau datang secara mengejut di Dataran Merdeka di sini lewat petang Sabtu mencetuskan kegemparan.
Berbeza lawatan pertama ditemani isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, kunjungan kali kedua Dr. Mahathir di Pasar Seni dilaporkan beberapa media tempatan hanya ditemani bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau dipercayai tiba dari stesen LRT di Masjid Jamek kira-kira pukul 4.15 petang sebelum dilihat berjalan kaki untuk bergerak menuju ke pasar berusia 130 tahun yang lebih popular disebut sebagai Central Market itu.
Pasar Seni terletak cuma 2.2 kilometer dari Dataran Merdeka, dan merupakan lokasi tumpuan utama para peserta Bersih 4.0; sekali gus menjejaskan persiapan akhir menjelang acara perarakan Hari Kebangsaan 2015 pada Isnin.
Baca: Tun M Barua DAP: Apa Nama Melayu Mudah Lupa?
Setakat ini belum ada apa-apa ‘ungkapan istimewa’ Dr. Mahathir berhubung penganjuran himpunan jalanan tanpa permit Bersih 4.0 itu, namun beliau dilihat sempat bersalaman dengan ramai peserta antikerajaan tersebut.
Kemungkinan besar negarawan itu hanya bertanya khabar, tetapi belum ada laporan beliau datang ke Pasar Seni untuk menyampaikan apa-apa ucapan atau membeli-belah produk kraftangan di kompleks bersejarah terbabit.
Untuk rekod, ketika Bersih 3.0 pada 2012 lalu, Dr. Mahathir ‘menyindir’ pengerusi penganjur perhimpunan itu, S. Ambiga sebagai layak menjadi perdana menteri bagi membolehkan demonstrasi haram di ibu negara setiap hari.
Beliau yang memecat timbalannya, Anwar Ibrahim pada 1998 diketahui amat dibenci pihak pembangkang hingga diberi pelbagai gelaran hina kerana corak pemerintahan keras selama 22 tahun berkuasa. – Mynewshub.cc/HAA