DAMSYIK – Jumlah kematian akibat serangan udara tentera Syria terhadap sebuah pasar di Douma, utara Damsyik, kini lebih 100 orang menjadikannya serangan paling dahsyat sepanjang perang empat tahun.
Menurut sumber tentera Syria, tentera udara melancarkan serangan itu sejak Ahad lalu, terhadap bandar Douma yang dikuasai pemberontak, Islam Army, selepas serangan terhadap Damsyik baru-baru ini.
Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, 96 orang terbunuh dalam serangan terhadap pasar itu yang terletak 16 kilometer dari pusat bandar raya Damsyik manakala menurut pasukan penyelamat, sembilan mayat masih belum dikenal pasti.
Dianggarkan lebih suku juta penduduk Syria terbunuh dalam perang saudara Syria itu yang mendorong 10 juta orang menjadi pelarian.
Pertempuran sekitar Damsyik meningkat sejak beberapa hari lalu dan slam Army, antara kumpulan pemberontak paling kuat di timur Damsyik, melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera kerajaan di Harasta, Sabtu lalu.
Tentera Syria menafikan serangan mensasar orang awam dengan alasan pemberontak berkubu di kawasan penempatan penduduk.
Douma berada dalam wilayah Ghouta Timur yang sudah lama menjadi medan berdarah pertempuran, termasuk pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia pada 2013.
Amnesty International melaporkan 160,000 orang awam yang terperangkap, kini menunggu mati dan antara Januari hingga Jun lalu, 500 orang mati akibat serangan udara kerajaan. Orang awam juga mati akibat kebuluran dan kekurangan perubatan. – Reuters/myMetro Online