KOTA BAHARU – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati lemas dalam tali air di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rafain Mat Zin berkata mayat mangsa, Mohd Zamzailani Mohd Zahari, 35, ditemui pada pukul 8.53 malam tadi di lokasi kejadian selepas dilaporkan lemas di situ pada pukul 6 petang.
“Mangsa dipercayai mandi bersendirian di tali air tersebut tanpa pengetahuan keluarganya.
“Pakaian milik mangsa dijumpai orang awam di tebing tali air itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Rafain berkata enam anggota bomba terlibat dalam operasi mencari mangsa. – BERNAMA