HANYA dengan tiga perkataan yang dilafazkan oleh seorang remaja, hasrat seorang lelaki yang ingin membunuh diri ini akhirnya terbantut.
Are you okay? (Awak okay tak?) tanya Jamie Harrington kepada seorang lelaki yang duduk di tepi sebuah jambatan di Dublin dan dipercayai ingin membunuh diri.
Selepas berbual selama 45 minit, Jamie akhirnya berjaya mempengaruhi lelaki tersebut untuk tidak membuat tindakan yang tidak sepatutnya.
“Saya hanya mengikut naluri untuk membantu lelaki itu dan kini seluruh dunia mengetahuinya. Saya harap hal ini memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk peka terhadap keadaan di sekeliling.
“Saya suka membantu orang yang perlukan pertolongan,” kata Jamie kepada sumber.
Dalam status Jamie di laman sosialnya, dia menceritakan saat-saat genting dia cuba menyelamatkan lelaki tersebut daripada membunuh diri.
Remaja berkenaan yang melalui kawasan tersebut ternampak seorang lelaki yang kelihatan gusar dan bertanyakan kepadanya sama ada dia okay atau tidak.
Dengan berhati-hati dia merayu lelaki terbabit untuk tidak bertindak melulu dan menyuruhnya duduk dan berbincang mengenai masalahnya.
Selepas 45 minit berbincang akhirnya Jamie memutuskan untuk menelefon ambulan meminta bantuan untuk lelaki terbabit.
Masih berasa bertanggungjawab, Jamie juga mengambil nombor telefon lelaki itu untuk memastikan dia berada dalam keadaan baik sahaja.
Tiga bulan lalu, lelaki terbabit memberitahu remaja itu dia bakal menimang cahaya mata dan ingin menamakannya ‘Jamie’ sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawanya. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=_75uR4u5YEs