ANGKA kematian akibat letupan kuat di pelabuhan Tianjin di China semalam telah meningkat kepada 44 orang termasuk 12 lagi anggota bomba yang terkorban dalam operasi memadam kebakaran.
Dalam laporan agensi berita rasmi Xinhua, jumlah kecederaan pula meningkat kepada 520 orang serta 66 daripadanya berada dalam keadaaan kritikal.
Lebih 1,000 anggota bomba dan 143 buah jentera dikerahkan bertungkus lumus bagi mengawal kebakaran yang bermula selepas letupan tengah malam tadi.
Menurut maklumat daripada polis Tianjin, letupan itu berlaku dalam gudang yang menyimpan kontena mengandungi bahan kakisan milik Ruihai Logistics yang diberi kebenaran mengenalikan bahan berkenaan.
Bahan mudah terbakar tersebut telah memusnahkan sepenuhnya bangunan gudang serta memecahkan tingkap bangunan yang jauhnya beberapa kilometer.
Sementara dalam laporan agensi AP, Zhang Siyu, seorang penduduk yang rumahnya terletak beberapa kilometer dari gudang itu berkata, dia menyangka gempa bumi menyebabkannya bergegas keluar.
“Apabila berada di luar barulah saya tahu ia bukanlah gempa bumi, sebaliknya letupan. Saya nampak api menjulang tinggi dengan asap tebal,†katanya.
Dalam pada itu, wartawan Bernama di Beijing melaporkan dua letupan itu bersamaan 24 tan bom TNT di mana letupan pertama bersamaan dengan 3 tan TNT manakala letupan kedua bersamaan 21 tan TNT.
Setakat ini belum diketahui punca sebenar letupan tercetus dan masih tiada tanda-tanda toksik terbebas ke udara atau di darat seperti mana yang dirisaukan oleh kerajaan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzq