KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan The Edge Communications Sdn. Bhd. untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah penggantungan dua penerbitannya selama tiga bulan, oleh Menteri Dalam Negeri.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamarnya.
Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memberitahu media bahawa hakim menolak permohonan itu atas alasan pihak penerbit berkenaan tidak menunjukkan keadaan khas untuk penangguhan itu dibenarkan.
“Hakim memberi tiga sebab. Beliau berkata, semakan itu boleh membawa kepada pemberian ganti rugi; penerbitan itu tidak mewajarkan tuntutan bahawa larangan itu akan mengakibatkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada mereka; dan mereka tidak menunjukkan sebarang keadaan khas untuk penangguhan itu dibenarkan,” katanya.
Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya, The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, oleh Kementerian Dalam Negeri. – BERNAMA