ALOR SETAR – Skuad Kedah dengan jolokan ‘Helang Merah’, yang muncul juara Liga Perdana 2015 baru-baru ini, akan disambut pada Majlis Perarakan dan Sambutan Piala Liga Perdana, 29 Ogos ini.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Aminuddin Omar berkata majlis yang bermula dari Wisma Darul Aman pada 7.45 malam itu akan melalui sembilan kawasan.
Perarakan sejauh 5.9 kilometer menggunakan bas bermula dari Wisma Darul
Aman ke Muzium Negeri, Menara Alor Setar, Balai Seni, Pekan Rabu Lama, Bulatan Kota, Bulatan Telok Wanjah, IPK Kedah sebelum berakhir di Stadium Darul Aman.
“Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir akan menunggu pemain di Stadium Darul Aman dan saya berharap semua peminat bola sepak Kedah datang beramai-ramai meraikan wira skuad Helang Merah ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Turut berlangsung pada malam itu, katanya adalah perlawanan akhir Piala Menteri Besar antara Baling dan Helang Muda, selain acara cabutan bertuah dengan hadiah melancong ke Jakarta dan Bandung serta pemberian jersi kepada peminat.
Aminuddin berkata ‘AOR Festival 2015’ juga akan berlangsung pada 28 dan 29 Ogos ini di Keriang Hill Resort yang akan menyediakan pelbagai aktiviti kepada golongan remaja.
“Pelbagai aktiviti seperti AOR Music, AOR Literary Fest, AOR Talks dan jualan akan diadakan, dan kita sasarkan sebanyak 30,000 pengunjung akan datang memeriahkan program selama tiga hari itu,” katanya.
Program akan dirasmikan Menteri Besar Kedah pada 2.30 petang, 29 Ogos, katanya. – BERNAMA
https://youtu.be/SvICZSmx-HI