Aktivis Datin Paduka Marina Mahathir mendedahkan tidak akan menyertai himpunan Bersih 4.0 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Lumpur, Malaysia berikutan mempunyai komitmen lain.
Sebaliknya, anak sulung kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akan menyertai perhimpunan seumpamanya di kota London, United Kingdom.
“Saya bimbang saya tidak dapat bersama anda kali ini. Saya sudah pun menempah untuk ke London sejak dulu dan tidak boleh menukar rancangan.
“Tetapi saya akan menyertai himpunan itu di London bersama Bersih UK dan akan mengirimkan gambar,” tulisnya menerusi akaun Facebook hari ini.
Memetik laporan Malaysian Insider, Marina sebelum ini juga pernah turut serta dalam Bersih 2 dan Bersih 3 yang diadakan pada 2011 dan 2012.
Sementara itu, Marina turut menyifatkan himpunan yang bakal bermula petang ini bakal mencatatkan yang terbesar dari segi saiznya.
“Harap perkara yang baik dilakukan pihak berkuasa dan mereka akan membiarkannya. Pastikan selamat, jaga diri dan yang penting nikmati suasananya. Saya rindukan kamu semua,” katanya.
Marina sememangnya cukup terkenal sebagai individu yang lantang mengkritik dasar kerajaan dan cenderung membela nasib kaum wanita dalam pertubuhan bukan kerajaan. – MYNEWSUB.CC
Sumber: Malaysian Insider