ALOR SETAR – Seorang abang meninggal dunia selepas dilaporkan bergaduh dengan adiknya di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena dekat sini semalam.
Mohd. Yusoff Gizali, 35, yang cedera pada kepala meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.
Ibu mereka, Mariam Bakar, 50, berkata anak-anaknya itu bertengkar di hadapan rumah sebelum si adik yang berusia 24 tahun membaling benda keras ke arah abangnya.
“Saya sebelum itu meminta mereka agar tidak bergaduh, tapi kemudiannya saya dapati anak sulung saya itu terbaring dengan kepalanya berdarah.
“Adiknya tidak henti-henti minta maaf kerana telah mencederakan abangnya,” katanya.
Mariam berkata jenazah anak sulungnya itu yang yang bekerja sebagai pencari akar kayu dan telah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Lada.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd. Jan berkata pihaknya sedang memburu adik mangsa yang melarikan diri selepas turut menghantar abangnya ke hospital. – BERNAMA