BERLIN – Saintis berkata mesej dalam sebiji botol lama yang terdampar di tepi pantai di Jerman berkemungkinan adalah mesej tertua seumpamanya di dunia.
Botol kaca tersebut ditemui seorang wanita ketika dia sedang berjalan di kawasan pantai di Pulau Amrum dekat Laut Utara, Jerman, pada April lalu.
Poskad dalam botol itu antara lain meminta sesiapa saja yang menemuinya untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Biologi Marin United Kingdom.
Ditulis dalam bahasa Jerman, Belanda dan Inggeris, nota itu turut menjanjikan ganjaran sebanyak satu shilling kepada sesiapa saja yang memulangkannya.
Jika ditukar kepada kadar nilai semasa, ganjaran itu pada masa ini boleh dianggap sebagai bersamaan dengan 43 pound sterling British (kira-kira RM290).
Mengikut maklumat persatuan tersebut, botol berkenaan telah dihanyutkan sendiri oleh pengkaji terkemuka, George Parker Bidder pada awal tahun 1900.
Tindakan tersebut dikatakan sebagai sebahagian daripada kajian marin mengenai corak arus lautan oleh penyelidik persatuan yang berpusat di Plymouth, England itu.
Bidder menghanyutkan lebih 1,000 botol antara tahun 1904 dan 1906. Botol itu memang sengaja direka untuk terapung supaya ia boleh dibawa arus laut dalam.
Persatuan Biologi Marin United Kingdom sudah mengemukakan mesej dalam botol itu untuk diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai yang tertua di dunia.
Rekod dunia sedia ada milik mesej yang ditemui di barat Kepulauan Shetland pada Julai 2013. Mesej itu berusia 99 tahun dan 43 hari. – AGENSI/BH ONLINE
https://www.youtube.com/watch?v=ccJKPri8rZE