KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyatakan sokongan terbuka ke atas Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin yang kini disiasat dibawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Mohd. Asri mendakwa, orang ramai perlu berdoa agar kejahatan dihancurkan dan memohon supaya Allah S.W.T memberi kemenangan kepada pihak yang berusaha menegakkan keadilan dan kebenaran.
“Semoga Allah memenangkan sesiapa yang benar-benar ikhlas untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Marilah kita terus berdoa agar kejahatan dihancurkan. Ya Allah! selamatkan negara kami,” katanya melalui laman Facebook DrMAZA.com di sini hari ini.
Mohd. Asri dalam kenyataan itu turut menyiarkan poster Bahri dengan kapsyen berbunyi `kamu ada kuasa, saya ada Allah’ yang turut mengandungi gambar sebuah rumah dipercayai rumah Bahri sedang diperiksa anggota polis.
Bahri sebelum ini berang kerana pihak polis menyiasat serta menahan pegawai SPRM dan menggugut serta bersumpah atas nama Allah S.W.T untuk mencari pihak yang mengarahkan siasatan ke atas pegawai SPRM tersebut hingga ke lubang cacing.
Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan terbaru polis terhadap dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Mohd. Asri salah seorang tokoh agama yang sering menimbulkan kontroversi dan pernah menuduh penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengemukakan riwayat palsu dalam ceramahnya. – mynewshub.cc