BUTTERWORTH – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Bagan di Seberang Jaya dekat sini.
Ketibaan Najib yang juga Presiden UMNO pada jam 1 tengah hari disambut tetamu yang turut bersalaman dan beramah mesra dengan pemimpin negara itu.
Najib diiringi Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk Shaikh Hussein Mydin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Setiausaha BN negeri, Datuk Omar Fauzar.
Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu.
Terdahulu beliau merasmikan persidangan agung tahunan UMNO Bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, dekat sini yang dihadiri lebih 3,000 orang.
Selepas jamuan hari raya itu, Perdana Menteri berlepas ke Gerik, Perak bagi merasmikan persidangan UMNO bahagian tersebut. – BERNAMA