PERDANA Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan untuk mengetepikan penasihat yang digambarkan sebagai ‘punahsihat’ kerana individu tersebut hanya dilihat mengambil kesempatan dan pentingkan diri sendiri.
Dalam satu kenyataannya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, terdapat sebilangan penasihat yang bertindak sedemikian.
Memetik kenyataannya menerusi laporan Sinar Harian, “Punahsihat Perdana Menteri ni kena buang…masalahnya, kadang-kadang kita tak berani, kita takut nak tegur.
“Saya tahu dua tiga orang itu. Dia bukan kira UMNO dan parti menang ke kalah (dalam pilihan raya).”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, ‘punahsihat’ tersebut dilihat seolah-olah seperti satu watak dalam filem lama bertajuk Lancang Kuning yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.
“Kalau saya dipanggil Perdana Menteri, saya sendiri akan beritahu orangnya. Banyak pemimpin yang jatuh disebabkan orang rapat di sekeliling mereka.”
Oleh itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengharapkan agar penasihat Najib melakukan tugas mereka dengan jujur.
“Banyak perkara yang kadang-kadang tidak dapat diterima oleh rakyat. Beliau kena berhati-hatilah. Maknanya, kalau tak boleh pakai janganlah pakai.
“Jangan guna nama Perdana Menteri sana sini untuk kepentingan peribadi. Saya berhak tegur sebab apa-apa berlaku, kita juga kena. Jika Perdana Menteri susah, kita pun susah kerana kita nak pertahankan beliau dan parti.” – MYNEWSHUB.CC
Gerakan Jatuhkan PM, UMNO-BN Perlu Sedar – Tajuddin Abdul Rahman