MADINAH – “Labbaikallah hummalabbaik” itu lafaz panggilan popular seruan Kaabah setiap tahun yang tetap disambut oleh umat Islam di seluruh dunia acap kali tiba musim ibadah fardu haji.
Uniknya meskipun ada negara-negara Islam tertentu, rakyatnya sendiri dilanda konflik, mereka tetap datang menjalani ibadah Rukun Islam kelima itu yang wajib dibuat sekali seumur hidup.
Dianggarkan seramai 62,176 jemaah dari negara-negara dilanda pergolakan politik, peperangan dan sebagainya, termasuk Yaman, Iraq, Syria dan Libya, dijangka mengerjakan haji pada tahun ini.
Menurut akhbar-akhbar tempatan, Timbalan Menteri Haji Arab Saudi, Hussein Al-Shareef berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pejabat-pejabat urusan haji di negara-negara tersebut.
Ini untuk memastikan para jemaah dapat membuat perjalanan ke Arab Saudi meskipun kerja-kerja projek pembesaran Masjidil Haram di Makkah masih lagi berjalan sepanjang masa tanpa henti.
Baca: Dana RM2.6 Bilion: Tiba-Tiba Ada Takut Kritik Arab Saudi
Beliau berkata para jemaah berkenaan tetap akan dialu-alukan di Makkah dan Madinah, selaras dengan arahan Pengamanah Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz al-Saud, dan kerajaan itu.
Hussein dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, para jemaah haji dari Iran turut dijangka mengerjakan ibadah fardu itu tahun ini, dan khidmat paling baik akan disediakan kepada mereka.
Presiden pertubuhan haji Iran, Saeed Awhadi, menyatakan bahawa jumlah jemaah haji yang sama dengan tahun lalu akan mengerjakan ibadah itu tahun ini dan mereka berusia hingga 57 tahun.
Ekoran pelaksanaan projek mega di tanah suci, kuota jemaah haji dari setiap negara terpaksa dikurangkan bagi menampung jumlah yang ideal dan mengurangkan risiko bencana kemanusiaan.
Lazimnya semua negara mendapat kuota 0.1 peratus daripada jumlah penganut Islam di negara terbabit kecuali Malaysia yang menerima kuota itu bagi nisbah jumlah keseluruhan penduduk.
Ini ekoran hubungan diplomatik istimewa yang amat baik antara Malaysia dan Arab Saudi selain aspek pengurusan jemaah haji cukup kemas sistematik.  - Agensi/Mynewshub.cc/HAA