LOS ANGELES - Seorang nenek yang memiliki ketumbuhan sebesar anak badak dan terpaksa ‘kurung’ dalam rumah selama 10 tahun, akhirnya kini dapat bergerak semula dan bermain dengan cucunya.
Wanita menetap di California, Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Charlene Branham itu hari ini menjalani kehidupan normal selepas ketumbuhan tersebut berjaya dibuang menerusi pembedahan.
Dia sebelum ini terpaksa hidup seperti dalam penjara, tidak boleh bekerja dan hanya bergantung kepada ibunya, Debbie untuk menjaganya selepas ketumbuhan di perutnya itu membesar dan tergantung antara kakinya.
Keadaan azab tersebut menjadikan Charlene seperti orang kurang upaya sehingga tidak boleh bergerak untuk membeli pakaian sendiri sebaliknya dia hanya bergantung kepada cadar yang dibalut di badan.
Akibat malu dengan keadaan tersebut, wanita berkenaan hanya berkurung dalam bilik tidur hinggakan tubuh badannya itu pula naik mendadak.
Dia mula menjadi seorang ibu pada usia 19 tahun dan kemudian mendapat cucu ketika berusia 37 tahun. Charlene menyedari mengenai ketumbuhan berkenaan pada 2005 lalu.
Namun disebabkan dia selalu mengalami bengkak di bahagian kulitnya, Charlene hanya membiarkan sahaja.
“Selepas is mula membesar, saya tidak tahu ke mana perlu dituju kerana saya tidak mahu meninggalkan rumah. Perut saya semakin membesar dan akhirnya terpaksa juga berjumpa doktor,’’ katanya.
Doktor tempatan bagaimanapun tidak dapat membuang ketumbuhan itu kerana ia terlalu besar, hampir 20 peratus daripada berat badan Charlene sendiri.
Enggan berputus asa, Charlene menemui pakar bedah, Dr. Allison Heider yang kemudiannya merujuk kes itu kepada seorang pakar bedah plastik, Dr. Vip Dev.
Doktor berkenaan dikenali kerana telah berjaya melakukan beberapa pembedahan melibatkan ketumbuhan yang besar sebelum ini. – Agensi/Mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=qMSFAJ1MQdc