BANGI – Seorang penuntut undang-undang berbangsa Cina dari Universiti Malaya (UM), Janise Then Siaw Lian, 23, mencatat sejarah sebagai peserta pertama bukan berbangsa Melayu yang mewakili Malaysia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Melayu 2015 Piala Perdana Menteri (PABM 2015) sejak ianya diperkenalkan sembilan tahun lalu.
Bersyukur dengan pemilihannya, gadis kelahiran Kota Samarahan, Sarawak ini menyatakan keterujaannya untuk melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara menerusi pertandingan tahunan yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi itu.
Janise memilih tema Perpaduan sebagai intipati pidato yang bakal dibentangkannya bermula Selasa ini.
“Saya memilih tema Perpaduan kerana ia lebih dekat dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Saya akan bawakan topik yang membawa kepada perasaan cintakan negara dan patriotisme di kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Mynewshub semasa Bengkel Penyampaian Pidato di Uniten, di sini hari ini.
PABM 2015 akan berlangsung bermula Selasa ini dan pertandingan akhir akan diadakan pada 7 ogos bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ketika ditanya tentang persiapannya, Janise berkata dia sentiasa berlatih dengan jurulatih bagi memperbaiki mutu penyampaian pidato selain menambah baik lagi input-input yang ingin disampaikan pada pertandingan itu nanti.
“Jurusan Undang-Undang yang saya ambil membantu dari segi pemikiran sementara jurulatih yang bagus serta universiti pula mempunyai satu kelab khusus untuk pengucapan awam, perkara-perkara inilah yang menjadikan saya hari ini,” katanya yang berharap dalam membawa pulang trofi kemenangan PABM bagi kategori yang disertainya.
Selain Janise, Malaysia turut diwakili penuntut jurusan Teknologi Maklumat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Akmal Aizat Umar, 23, yang pertama kali terpilih menyertai pertandingan berkenaan.
Walaupun mempunyai masa yang agak singkat dalam membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan ini, Akmal tetap optimis mahu mengharumkan nama negara dan berazam untuk memberikan persembahan terbaiknya kelak.
“Setiap pelajar ada impian nak masuk pidato antarabangsa dan terpilih mewakili negara pada tahun ini, pastinya ia satu perasaan yang sangat menggembirakan dan membanggakan.
“Saya memilih tema keamanan dunia dan bagi saya tidak sukar untuk memilih fakta-fakta kerana terdapat banyak isu global dan isu politik antarabangsa selain soal hak asasi manusia (yang boleh diketengahkan),” katanya.
Seperti mana Janise, Akmal turut berharap kemenangan boleh diraih mereka memandangkan Malaysia merupakan penganjur dan tuan rumah kepada pertandingan berprestij ini dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di mata dunia.
Janise dan Akmal akan dicabar lapan peserta lain yang berasal dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Sementara bagi kategori antarabangsa, seramai 40 peserta dari pelbagai negara mengambil bahagian dan pada tahun ini juga diperkenalkan satu kategori baharu iaitu Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).
Seramai 21 pelajar antarabangsa yang menuntut di negara ini terlibat dalam penganjuran kali ini yang mana penyertaannya semakin bertambah dari tahun ke tahun.
– MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=7gz9R7Xk_SY
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto/Video: RIZA RAZAK