BANGI – Peserta Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia terpilih di antara tiga finalis bagi kategori Antarabangsa dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015).
Keputusan itu diumumkan oleh Sekretariat Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Dr Mazlina Mohd Hussain sebaik pertandingan separuh akhir selesai dijalankan sebentar tadi di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), di sini.
AS diwakili Wyatt Gordon, 25, pemuda berusia 22 tahun, Joshua Parfitt pula mewakili UK sementara Emma Roberts mewakili negara Australia.
Dalam pusingan separuh akhir mereka mengalahkan tujuh peserta lain iaitu Kong Jinlei (China), Kabora Floria (Madagascar), Mariam Coulibaly (Mali), Nhelbourne Kalim Mohammad (Filipina), Eiko Akazawa (Jepun), Pavel Naidenov (Rusia) dan Laki A’ron Bence (Hungary).
Sementara itu bagi kategori Alam Melayu, dua peserta dari Malaysia, Janise Thew Sian Lian, 23, dan Mohd Akmal Aizat Umar, 23, mengesahkan kemaraan mereka ke peringkat akhir bersama seorang lagi finalis dari Thailand, Awabeen Samsuding, 19.
Kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) pula menempatkan finalis dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Waleed Basil Mohammed Ali, Maher G.M Abdolrasol mewakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pertandingan peringkat akhir PABM 2015 akan berlangsung Sabtu ini di Dewan Planetari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Majlis tersebut akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV1.
Johan bagi setiap kategori yang dipertandingkan akan memenangi Piala Pusingan, Piala Iringan, wang tunai USD$7,000 (RM27,000), hadiah iringan dan sijil.
Naib juara pula bakal membawa pulang Piala Iringan, wang tunai USD$5,000 (RM15,000), hadiah iringan dan sijil manakala tempat ketiga pula memenangi piala iringan, wang tunai USD$3,000 (RM9,000), hadiah iringan dan sijil.
Tahun ini merupakan tahun kesembilan penganjuran PABM sejak ia mula diperkenalkan pada 2007. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=9D-82NERKr8
https://www.youtube.com/watch?v=2mdkyVK8LAE&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=BUBSSjsSHE4&feature=youtu.be
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto/Video: RIZA RAZAK