BANGI – Peserta dari Rusia, Pavel Naidenov yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir menyatakan dia ingin memperbaiki intonasi dalam penyampaian pidato agar dirinya layak bergelar tiga finalis Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 (PABM 2015).
Pavel yang menuntut dalam Pengajian Bahasa Melayu di Moscow State University berharap dapat mengulangi kejayaan peserta-peserta Rusia dalam edisi terdahulu yang berjaya melangkah masuk ke peringkat akhir PABM.
“Saya harap boleh masuk peringkat akhir kerana sudah dua tahun wakil dari Rusia tidak berjaya memasuki ke peringkat akhir, oleh itu saya sangat-sangat berharap dapat masuk final.
“Saya berusaha untuk memberi yang terbaik dan saya ingin memperbaiki intonasi dalam penyampaian selain menghafal teks ucapan di hadapan rakan-rakan yang lain agar saya dapat mencari kesalahan dalam teks pidato yang disediakan,” katanya ketika ditemui Mynewshub sebaik selesai pengumuman peserta yang layak ke separuh akhir diadakan di Universiti Tenaga Nasional, Uniten, di sini hari ini.
Pavel turut menyifatkan di antara 10 peserta separuh akhir, peserta dari United Kingdom, Australia, Jepun dan China merupakan antara pesaing terhebat yang perlu dihadapinya sebelum berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Sementara itu, peserta kecil molek lengkap berbaju kimono, Eiko Akazawa dari Jepun pula menampilkan persembahan menarik dengan mempersembahkan bait-bait lagu popular Zainal Abidin berjudul Hijau yang bersesuaian dengan topik pidato yang dipersembahkannya iaitu Pemeliharaan dan Pemulihan Alam Sekitar.
“Saya sangat gembira kerana usaha-usaha saya diperlihat oleh hakim kerana sejak bulan Mei saya sudah mula berlatih berpidato untuk pertandingan ini.
“Saya cari lagu yang berkaitan alam sekitar dan lagu Zainal Abidin yang paling bersesuaian dengan topik saya,” katanya yang menerima tepukan gemuruh para hadirin ketika mendendangkan bait-bait lagu itu sebentar tadi.
Bagi mencukupkan masa tujuh minit pidato yang perlu dipersembahkan pada pertandingan separuh akhir esok, Eiko berkata dia akan cuba menambah baik isi kandungan pidato agar ianya lebih bagus dan mencukupi masa yang diberi oleh pihak penganjur.
Menurut Eiko, pada pandangannya, pemidato yang baik haruslah seseorang yang mempunyai isi kandungan pidato yang mantap dan menyelitkan unsur humor dalam penyampaian ucapan mereka agar penonton tidak berasa bosan.
Eiko yang diberi nama Melayu Izzati oleh pensyarah bahasa Melayunya di Universiti Tokyo ini juga menunjukkan kebolehannya menyanyi dalam lagu Melayu berjudul Bukan Cinta Biasa nyanyian Datuk Siti Nurhaliza menerusi temu bual yang diadakan Mynewshub.
Pertandingan akhir PABM 2015 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=bhsnzZ0b6wg&feature=youtu.be
https://www.youtube.com/watch?v=qU9NJESoJto
Oleh:  JULIANA JOHAR
Foto/Video:  RIZA RAZAK