LEWAT petang Jumaat, di sebalik amaran keras pihak polis agar rakyat tidak mempercayai khabar angin disebarkan menerusi media sosial, peringatan itu nampaknya tidak dijadikan pengajaran oleh netizen tempatan.
Bahkan nasihat berulang kali Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar pengguna laman sosial menapis kesahihan sebarang maklumat disiarkan pun masih tidak mendidik mereka lebih bertanggungjawab.
Justeru tidak hairanlah selepas solat Jumaat pada 31 Julai, satu Malaysia ‘kecoh’ dengan berita palsu kononnya harga minyak petrol dan disel bakal dinaikkan sehingga 30 sen mulai tengah malam Sabtu iaitu pada 1 Ogos ini.
Laman Facebook, Twitter, Whatsapp dan segala macam aplikasi penuh ‘sumpah seranah’ ke atas kerajaan dengan penyokong pembangkang galak bercerita “Inilah hadiah untuk rakyat sempena rombakan jemaah Kabinet Najib”.
Bertambah panas apabila dikatakan perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membantah kenaikan harga minyak dan ‘kezaliman’ Perdana Menteri menggugurkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Begitulah hebatnya fitnah jentera antikerajaan menghasut rakyat dengan dakyah berita palsu dan sengaja direka untuk mengalihkan perhatian daripada masalah pergolakan pakatan pembangkang yang semakin parah kritikal.
Walhal kisah sebenarnya awal pagi Jumaat, semua agensi berita antarabangsa melaporkan harga minyak dunia jatuh berikutan tindakan Iran membuat lambakan bekalan susulan kejayaan rundingan nuklear negara Parsi itu.
Kejatuhan itu memang dijangka serta sudah berlarutan lebih dua minggu lalu menyaksikan lebihan stok malah banyak syarikat minyak gergasi terkenal termasuk Shell dan Exxon membuang ribuan pekerja di seluruh dunia.
MYNEWSHUB turut menerima kiriman Whatsapp seorang rakan dari sebuah stesen Petronas yang menunjukkan skrin pada komputer inventori kemas kini data memaparkan harga runcit baharu turun 10 sen mulai 1 Ogos.
Namun, atas sebab amanah untuk menjaga rahsia besar, perkara itu disenyapkan tetapi terkejut setelah selesai solat Jumaat apabila mendapati pengguna media sosial panik kononnya harga minyak naik mendadak.
Salah satu contoh terbaik disebarkan seorang pengguna (lihat bawah) yang walaupun berkelulusan akademik tinggi di luar negara, namun lihatlah cara reaksi dia ‘melatah’ hingga jadi bahan jenaka di laman maya tanah air.
Bagaimanapun dia yang mungkin menyedari kekhilafan tindakannya itu telah pun membuat penjelasan, tetapi anda boleh baca sendiri apa akalnya pula selepas kantoi harga minyak benar-benar turun dan bukan pula naik.
Sekurang-kurangnya sikap terpuji dia yang masih tidak ‘melarikan diri’ dengan memberi pelbagai dalih dan alasan wajar dijadikan teladan agar lebih berhati-hati untuk mengeluarkan komen berunsur sensasi pada masa hadapan.
Lelaki ini turut menarik balik kenyataan yang dibuatnya itu setelah mengetahui hasrat ‘murninya’ tersebut menjadi viral menerusi media sosial dan memohon maaf kepada semua pengguna laman popular berkenaan.
Moral ceritanya, kepada pengguna media sosial lain, sekali pun tidak sealiran dengan pihak tertentu, namun janganlah pula bertindak keterlaluan sebab nanti yang malu, tuan punya badan itu sendiri. Wallahu ‘alam.
— MYNEWSHUB.CC/HAA