TELUPID – Golongan pelajar perlu berfikir di luar kotak dalam mempersiapkan diri mereka dengan cabaran alam pekerjaan.
Sehubungan itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata penguasaan Bahasa Inggeris, keterampilan diri dan keyakinan diri perlu ada pada setiap pelajar.
Katanya bagi mencapai semua itu, golongan pelajar perlu terus memperlengkapkan diri dengan pengetahuan dan menanam diri dengan sikap kepimpinan sesuai dengan kemahiran insaniah (KI).
“KI merangkumi aspek-aspek kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang berkaitan dengan kemahiran bukan akademik.
“KI adalah antara elemen yang dikenal pasti amat kritikal dalam dunia pekerjaan yang bersifat global serta pesat dengan perubahan teknologi,” katanya pada Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Piala Diraja Sekolah Rendah dan Menengah peringkat negeri di sini, Selasa.
Anggota Parlimen Beluran itu berkata tiada maknanya anak cemerlang dengan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan sedangkan mereka tidak pandai bergaul, bekerja dalam satu pasukan dan sukar menerima arahan.
Beliau berkata ramai juga tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang membuatkan mereka takut bersaing dan bekerja di syarikat korporat yang besar kerana penggunaan Bahasa Inggeris secara meluas di situ.
Ronald yakin pendekatan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) mengangkat generasi ke tahap sedemikian.
Dalam pada itu, kategori Sekolah Menengah dimenangi Diana David Daigo mewakili Keningau, Eless Francis (Papar) kedua dan ketiga Nurlisa Wasin (Ranau).
Kategori Sekolah Rendah dimenangi Khaizuran Khabir mewakili Ranau, Anis Faizatul Nameera (Keningau) kedua dan Nur Husna Badzlina Mohd Hauzy (Kota Kinabalu) ketiga. – BERNAMA