KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS pro Gerakan Harapan Baru (GHB), Datuk Mahfuz Omar gembira dengan tindakan Wanita UMNO Langkawi, Ainina Saaduddin mengemukakan saman ke atas Presiden partinya sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, tindakan Ainina, 40, adalah satu keberanian luar biasa seorang wanita Melayu ke atas presiden partinya sendiri yang perlu dicontohi.
“Keberanian ini harus dipuji dan dicontohi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Media propembangkang semalam `ghairah’ menyiarkan berita-berita kononnya Najib telah disaman oleh partinya sendiri iaitu UMNO berikutan isu derma politik.
Perihal sebenar akhirnya diketahui saman itu cuma dikemukakan oleh seorang ahli wanita UMNO dari negeri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Langkawi.
Ainina memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang turut menamakan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh sebagai defendan kedua.
Perwakilan Wanita UMNO Langkawi itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengkritik Presiedn UMNO dalam satu mesyuarat bahagian UMNO.
Sejak itu Ainina mendapat perhatian media-media anti-kerajaan. – mynewshub.cc