SUSULAN insiden ngeri seorang wanita yang mati ditikam dengan sebilah pedang di Beijing, suspek yang ‘posing’ selepas menikam wanita itu dikatakan benci kepada orang Amerika.
Laporan media tempatan menyatakan suspek dengan mangsa saling tidak mengenali dan bukan juga bekas kekasih seperti yang didakwa oleh netizen di laman sosial.
Mangsa, Qu Wenqing diserang ketika dia bersama suaminya, Mariaud Romain, seorang warga Perancis di hadapan butik baju terkenal Uniqlo.
[SELAMBA ‘POSING’ LEPAS TIKAM ORANG HINGGA MATI]
Wenqing ditikam di bahagian dadanya dan mati selepas dikejarkan ke hospital. Suaminya yang turut cedera segera memberi bantuan dengan menahan darah di dada Wenqing daripada terus mengalir namun gagal menyelamatkannya.
Adik kepada mangsa, Qu Wendy memberitahu sumber serangan terbabit dilakukan secara rawak dan suspek dilihat sudah berada di situ sejak 3 hari sebelumnya.
Wendy juga mengesahkan suspek tersebut tidak suka dengan orang Amerika sebelum menikam kakaknya dengan pedang sepanjang satu meter sehingga mati.
“Dia (suspek) bertanyakan kepada abang ipar saya  adakah dia orang Amerika. Abang ipar saya memberitahunya, dia adalah orang Perancis dan memohon agar tidak mencederakan mereka.
“Walaubagaimanapun, lelaki itu telah bertindak menikam mereka dari arah belakang selepas mereka berjalan melepasi suspek tersebut,” kata Wendy kepada sumber.
Wenqing mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Chaoyang manakala suaminya kini ditukarkan dari Unit Rawatan Rapi dan semakin stabil.
Suspek yang berusia 25 tahun itu dikenali sebagai Gao akan menjalani ujian psikiatri dan boleh berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=3-O4rJtR85E