DALAM satu ucapan yang dibuat beliau hari ini di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan para peneroka Felda untuk tidak termakan hasutan pihak luar yang mendakwa kerjasama Felda Global Ventures (FGV) dan PT Eagle High Plantation di Indonesia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.
Ujar beliau lanjut, tindakan tersebut hanya akan menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menerima manfaat dari usahasama berkenaan.
Untuk itu, Najib mengharapkan agar masyarakat Felda untuk berfikir secara rasional dan waras agar peluang itu tidak dilepaskan begitu sahaja.
Memetik kenyataan Najib dalam laporan The Malaysian Insider, “Kita sedia maklum, untuk Felda mengubah kualiti hidup masyarakat asal dan generasi kedua dan ketiga, kita juga ingin Felda menjangkaui sempadan negara.
“Kita mahu Felda terus global dan sebab itu pada masa ini kita timbang usahasama FGV dan Eagle High.
“Kita yakin kalau dapat formula yang saling utuh untuk satu sama lain, maka FGV dan masyarakat Felda boleh kaut keuntungan besar.
“Apa yang perlu, kita fikir secara waras dan rasional. Jangan fikir hasutan mana-mana pihak sehingga yang baik jadi tidak baik, yang hak jadi batil.”
Pada Jun lalu, FGV yang merupakan syarikat perusahaan buah kelapa sawit ketiga terbesar dunia dilaporkan menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Rajawali Group untuk mengambil alih kepentingan 37% dalam PT Eagle High Plantations (EHP) pada USD680 juta. – MYNEWSHUB.CC
 Felda Pertahan Beli Ladang Di Indonesia Milik Rajawali Group