KUALA LUMPUR — Pelan rasionalisasi hutang 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) tidak akan terjejas oleh penurunan ringgit kerana
syarikat itu memiliki aset dalam dolar AS, kata Presiden dan Pengarah
Eksekutifnya Arul Kanda.
Ini akan membolehkan syarikat itu membayar hutang luarnya yang
didenominasikan dalam dolar AS.
“Kita mempunyai syarikat jana kuasa di negara asing seperti Bangladesh dan
Mesir. 1MDB adalah penjana kuasa bebas terbesar di kedua-dua negara itu.
“Kami juga ada aset di Abu Dhabi dan Pakistan. Kesemua aset adalah dana
dalam bentuk dolar AS,” katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan
malam ini.
Arul Kanda berkata ini bermakna 1MDB memiliki lindung nilai semula jadi yang
aliran tunai diterima dalam dolar untuk membayar hutang.
1MDB juga turut mempunyai pelbagai aset lain yang dapat disandarkan ke atas
dolar AS.
Beliau juga menyifatkan 1MDB berada di landasan yang betul bagi memenuhi
objektif pembangunan strategiknya.
“Alhamdulillah bagi 1MDB untuk kita tidak ada masalah untuk tarik pelabur,
yang masalahnya ialah tuduhan dan tohmahan politik,” katanya.
Para pelabur yakin terhadap aset 1MDB kerana mereka memiliki asas kukuh
sebagai contohnya Edra Energy yang menjana hasil kira-kira RM5 bilion setahun,
katanya.
Menurutnya, ramai pelabur berminat membeli aset 1MDB pada harga pasaran dan
kira-kira 40 syarikat juga menunjukkan minat dalam pembangunan di Bandar
Malaysia, antara lainnya. — BERNAMA