KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia mulai hari ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra malam ini, Dung akan akan diiringi oleh isterinya Tran Thanh Kiem serta delegasi yang terdiri daripada beberapa menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Lawatan ini adalah ketiga ke Malaysia atas jemputan rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan mengenai peningkatan kemajuan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor serta isu-isu serantau dan global demi kepentingan bersama.
Selain mesyuarat terhad dengan Najib, Dung juga dijadual mengadakan mesyuarat bersama syarikat-syarikat Malaysia sebelum menghadiri jamuan malam yang akan dihoskan oleh Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada Sabtu, Dung dijadual mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia diikuti dialog khas bersama syarikat-syarikat besar di Malaysia dan juga ASEAN serta perjumpaan dengan wakil-wakil komuniti Vietnam di sini.
Wisma Putra berkata Dung dan Najib dijangka akan turut menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Penggajian Pekerja Malaysia-Vietnam dan pelanjutan blok PM3 CAA antara Petronas dan PetroVietnam.
Selain itu, Dung juga akan akan mendengar pembentangan berkaitan kelulusan secara prinsipal yang diberikan oleh Bank Negeri Vietnam kepada Kumpulan CIMB.
Vietnam merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan keempat terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
Tahun lepas, jumlah nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam adalah sebanyak RM29.6 bilion. – BERNAMA