KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan tegas kepada penganjur dan individu yang terlibat dalam perhimpunan yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur dan orang awam yang hadir, berada atau mengambil bahagian dalam apa-apa perhimpunan di kawasan tersebut,” kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon.
Katanya pihak polis tidak membenarkan perhimpunan itu dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman warga Bandaraya Kuala Lumpur terjamin.
“Polis KL telah mendapat maklumat dan risikan termasuk laporan polis menunjukkan satu perhimpunan akan diadakan oleh kumpulan Demi Malaysia dan gabungan lain-lain NGO di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur pada 1 Ogos, walaupun tidak dibenarkan pihak polis.
“Jika perhimpunan ini berlaku, ia akan mengakibatkan masyarakat menjadi takut akan keselamatan mereka ketika berada di pusat bandar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini. – BERNAMA