KUALA LUMPUR – Peserta perhimpunan Bersih 4 kembali berkumpul di sekitar Dataran Merdeka di sini, yang tiba sejak 8.30 pagi.
Ketika penyokong kemeja-T kuning itu mendengar ucapan pihak penganjur, peserta lain yang semakin ramai, mulai berhimpun di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.
Sebaliknya, suasana perhimpunan berbeza di Sarawak dan Sabah kerana tidak mendapat sambutan orang ramai.
Hanya sebilangan kecil peserta yang hadir di padang Song Kheng Hai di Kuching dan Taman Awam Teluk Likas di Kota Kinabalu setakat 10 pagi.
Sementara itu, tiada apa-apa yang ‘menarik’ bagi peserta Bersih 4 yang memilih bermalam di perkarangan Dataran Merdeka bersama beberapa pemimpin pembangkang malam tadi.
Pihak pembangkang menyampaikan lebih banyak ucapan kritikal mengenai kerajaan menjelang subuh.
Selain itu terdapat juga ungkapan menghina pemimpin negara yang ditulis di atas jalan raya menggunakan kapur di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak.
Dataran Merdeka kekal sebagai kawasan larangan bagi peserta Bersih sepanjang malam tadi.
Polis mengisytiharkan perhimpunan Bersih 4 sebagai tidak sah, yang diadakan dua hari anjuran kumpulan pembaharuan pemilih Bersih 2.0 yang mendakwa memperjuangkan antara lain pilihan raya bersih dan adil serta kerajaan yang bersih.
– BERNAMA
https://youtu.be/9TiLN11LeG8