SERDANG – Peserta dari luar negara teruja dapat bersama-sama menimba ilmu mengenai budaya dan susur galur masyarakat Melayu menerusi lawatan ke Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia yang diadakan hari ini.
Mereka melahirkan perasaan teruja dengan reka bentuk rumah tradisional Melayu yang terkenal dengan ukiran kayu yang cantik dan sangat berseni hasil tangannya.
Menurut salah seorang peserta, Wyatt Evan Gordon, 25, dari Amerika Syarikat, dia suka dengan ciri-ciri unik yang terdapat di rumah Melayu dahulu kala dan sukakan kelainan menjamu selera dalam keadaan bersila.
“Pengalaman ini pastinya sesuatu yang berbeza dengan budaya di Amerika dan saya sangat suka mengunjungi rumah tradisional Melayu,” katanya yang memilih tajuk Kepentingan Bahasa sepanjang terlibat dalam PABM 2015.
Menurut Wyatt, dia berasakan kepentingan untuk belajar bahasa asing itu adalah perlu kerana ianya mampu memberi perspektif baharu kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa ibunda sendiri.
“Saya sedar bahasa itu sangat penting dan saya ingin mengaitkannya dengan pengalaman saya sendiri,” ujarnya yang merupakan keluarga pendatang dari Jerman yang kini menetap di negara Uncle Sam.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Gagliardi Noemi dari Itali pula menyukai manuskrip tulisan Jawi dan memasang impian untuk mempelajari tulisan Jawi pula selepas ini.
“Saya sangat tertarik pada manuskrip tulisan Jawi dan ini merupakan pertama kali saya melihat tulisan Jawi dari dekat. Ya, saya berminat untuk mempelajarinya satu masa nanti, kenapa tidak?,” katanya yang turut mempelajari bahasa Portugis dan Mandarin.
Sudah biasa dengan budaya masyarakat Melayu, Noemi berkata dia langsung tidak kekok dengan masakan pedas sebaliknya sangat menyukainya sejak pertama kali mencuba masakan Timur beberapa tahun lalu.
Dalam kunjungan ke Muzium Warisan Melayu, peserta didedahkan dengan pelbagai artifak menarik berkaitan peradaban dan masyarakat Melayu, keunikan seni bina rumah tradisional Melayu selain dijamukan dengan makanan tengahari yang bertemakan lauk-pauk kampung seperti sambal udang petai, gulai lemak labu, ulam-ulaman dan sambal belacan. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=_rqQzab7epo&feature=youtu.be
Oleh:  JULIANA JOHARÂÂ
Foto/Video:  RIZA RAZAKÂÂ