CYBERJAYA – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendesak disekat segera laman sesawang Malaysiakini.
Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, desakan tersebut dibuat kerana portal Malaysiakini didakwanya sering mengeluarkan berita-berita berbaur kontroversi yang tidak tepat serta memfitnah kepimpinan negara.
“Malah, Malaysiakini tidak pernah membuat permohonan maaf secara terbuka jika mereka melaporkan berita tidak tepat tetapi hanya meletakkan perkataan ‘ralat’ yang kecil di bawah berita mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Jabatan Perlindungan dan Biro Aduan Pengguna SKMM Ratnawaty Talib di sini pada Rabu.
Beliau berkata salinan memorandum itu juga akan diserahkan ke pejabat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di Putrajaya pada hari ini. – BERNAMA