TEMERLOH – Pihak polis menolak dakwaan bahawa enam anggota kumpulan mencuri lembu yang ditangkap Isnin lalu di sebuah pondok di Kampung Gantuk, Mentakab merupakan pembuat senjata api haram.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Zundin Mahmood berkata empat laras senjata api (senapang) buatan sendiri yang dirampas semasa tangkapan itu dibuat adalah dihasilkan seorang anggota kumpulan tersebut.
“Kita yakin tiada senjata api dihasilkan kumpulan itu untuk dijual kepada orang ramai.
“Setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan atau menjumpai sebarang senjata api buatan sendiri di daerah ini melainkan empat laras senjata (senapang) yang dirampas daripada kumpulan itu pada 24 Ogos lalu,” katanya kepada Bernama.
Namun beliau berkata sesiapa yang membuat sendiri senjata api atau menyimpannya walaupun hanya untuk memburu dan menjaga keselamatan diri mereka, ia adalah salah disisi undang undang.
Menurut Zundin, dengan tertangkapnya anggota kumpulan itu, pihak polis yakin kegiatan mencuri ternakan terutama lembu di daerah ini telah tumpas. – BERNAMA