KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah di Kampung Permatang Badak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Jenayah Bahagian Siasatan Jenayah diketuai Asisten Superintendan Mohd. Nayan Mokhtar pada pukul 11 malam di kawasan berhampiran.
Beliau berkata, kejadian disedari pemilik kira-kira pukul 3 petang semalam selepas melihat pintu hadapan rumahnya terbuka dan mendapati televisyen serta motosikal milik kawannya yang disimpan di dalam rumah telah hilang.
Dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan hasil soal siasat, suspek mengaku menyembunyikan motosikal yang dicurinya itu di sebuah rumah di Sungai Isap Perdana di sini, kata Abdul Aziz ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang positif dadah itu juga memiliki rekod lampau berkait kes Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Pada masa sama, polis turut mencari seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah itu. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=u1e90wa8Fok