GUANGZHOU – Polis China menyerbu sebuah rumah di Heyuan dan menemui 213 fosil telur dinosaur yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan di bandar itu baru-baru ini.
Dalam serbuan di wilayah Guangdong terletak di selatan China pada 30 Julai lalu, pihak berkuasa turut menemui satu tulang dinosaur yang lengkap.
Jurucakap pasukan polis tempatan berkata, fosil telur dinosaur itu pada mulanya ditemui di sebuah tapak pembinaan pada Jun lalu.
Namun menurutnya, sebelum sempat saintis dan penyelidik tiba di lokasi berkenaan, fosil ratusan telur itu berjaya dicuri sekumpulan penduduk.
Manakala fosil lengkap tulang dinosaur itu pula dipercayai dicuri dari sebuah tapak cari gali di wilayah Liaoning.
Tulang dinosaur itu dikenal pasti daripada spesies Psittacosaurus yang hidup kira-kira 100 juta tahun lalu.
Kegiatan cari gali haram sering berlaku di bandar ini sejak kali pertama fosil dinosaur dijumpai pada 1996.
Segelintir penduduk mencuri fosil dinosaur untuk dijadikan perhiasan dan ada yang menjualnya di pasaran gelap.
Kekurangan undang-undang bagi menghalang kegiatan berkenaan menyebabkan ramai penduduk terlepas daripada tindakan. – Agensi/myMetro Online