DISEBABKAN sudah tidak tahan lagi dengan kelembapan pihak berwajib menjalankan kerja-kerja membaik pulih, sekumpulan anak muda di Shah Alam menconteng jalan-jalan yang rosak demi memberi peringatan kepada penduduk setempat.
Kumpulan yang digelar sebagai “Brotherhood Shah Alam” ini mengecat jalan-jalan raya yang rosak agar pengguna awam yang menggunakan jalan tersebut peka dengan bahaya yang mereka tempuhi setiap hari.
Menurut mereka, pelbagai aduan sudah dilakukan namun tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Maka pada lewat malam semalam, mereka telah menjalankan aktiviti ini di sekitar kawasan berhampiran stesen minyak Shell di Unisel, Seksyen 21 dan sekitar seksyen 14 dekat Kompleks PKNS dengan mencari jalan rosak dan berlubang.
Menurut mereka, ini adalah salah satu usaha untuk membuka mata pihak MBSA supaya cepat memperbaiki jalan yang rosak dan mereka akui tidak kisah jika penduduk sekitar atau orang ramai marah dengan tindakan menconteng jalanraya yang dilakukan.
Mereka mendakwa cat kuning digunakan kerana ianya mudah dilihat oleh pengguna yang melalui jalan berlubang ataupun rosak.
Aktiviti ini diketuai oleh Lando Zawawi yang diketahui sering tampil megeluarkan kenyataan berkaitan masalah jalan rosak di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang.
Difahamkan, mereka mendapat sokongan penduduk sekitar yang menyifatkan inisiatif ini sudah pasti akan membuka mata pihak berwajib. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Facebook Lando Zawawi
Oleh: hzq
https://www.youtube.com/watch?v=SmUxFJjRyOY