ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru semua pihak bersiap sedìa menghadapi apa sahaja bencana yang mungkin berlaku.
Baginda bertitah, sehubungan itu semua pihak termasuk institusi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) keluar dari zon selesa untuk bersama-sama menghadapi bencana.
Menurut baginda, satu daripada sikap yang baik dalam menghadapi bencana ialah sejak akhir-akhir ini masyarakat banyak menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana.
“Sikap masyarakat ini baik untuk memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum seperti Malaysia,” titah baginda semasa merasmikan Seminar Perkongsian Projek Kesukarelaan Terbaik dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti (VCORE) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.
“Kita harus berinisiatif berhadapan bencana dan menitikberatkan aspek-aspek peralatan menyelamat seperti kenderaan berat, trak, lori, helikopter dan sebagainya agar sentiasa dalam keadaan baik,” titah baginda yang juga Canselor UniMAP.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah perkara ini penting bagi memastikan semua jentera yang diperlukan dapat digerakkan semaksimum mungkin semasa bencana selain sumber manusia yang menjadi nadi utama setiap operasi bantuan.
Sementara itu Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Kamarudin Husin berkata seminar tiga hari tersebut anjuran Majlis Persatuan Pentadbir dan Iktisas Universiti Awam Malaysia (Masti) disertai lebih 150 peserta mewakili universiti awam seluruh negara.
Katanya seminar tersebut bertujuan untuk memperkasa semangat kesukarelaan dan tanggungjawab anggotanya dalam memberi bantuan semasa bencana. – BERNAMA
UniMAP Anjur Minggu Kesedaran Autisme 2015