Serdang – Pemilik premis pengurup wang kerugian RM100,000 selepas disamun empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, 6.30 petang tadi.
Dalam kejadian itu, empat lelaki terbabit menaiki dua motosikal memakai topi keledar bertutup penuh serta bersenjatakan dua bilah parang memasuki premis itu.
Difahamkan, premis berkenaan baru dibuka sebulan lalu dan tidak mempunyai pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, dua suspek menunggu di motosikal dengan enjin masih hidup manakala dua lagi cuba mencabut tingkap plastik gelongsor di hadapan kaunter namun tidak berjaya.
“Suspek yang berang gagal mencabut tingkap plastik gelongsor itu bertindak menendangnya sebelum memasuki premis terbabit.
“Suspek kemudian melarikan wang serta pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM100,000 dan satu telefon bimbit,” katanya.
Razimi berkata, siasatan anggota forensik di lokasi kejadian mendapati premis itu tidak dilengkapi jeriji keselamatan pada cermin kaunter selain premis itu juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan.
“Pihak kami sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dengan meneliti rakaman CCTV milik bank berhampiran yang dijangka dibuat esok berikutan ketika kejadian bank itu sudah tutup,”katanya. – myMetro Online