KUALA LUMPUR – Pakar kanser tempatan berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca si penggunanya itu menghidap penyakit maut, iaitu kanser.
Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr. Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik, akan disedut pengguna.
Wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Beliau berkata asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.
“Lagipun, kita tak boleh guna cecair nikotin walaupun sukatan sedikit kerana dikhuatiri hasil resapannya ke dalam darah akan ubah kandungan efisien dalam badan, bahkan selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.
“Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser,” katanya kepada agensi berita Bernama ketika dihubungi hari ini.
Dr. Dalilah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, yang menasihati pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu.
Nasihat tersebut dikeluarkan sebagai panduan awam sehingga keputusan mengenai risiko alat berkenaan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.
Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj menyokong cadangan kerajaan itu dan alasan pengguna untuk berjimat daripada membeli batang rokok adalah tidak wajar.
“Kita seharusnya melihat gejala ini dari segi kesihatan dan bukannya kos. Kalau nak berjimat tetapi kesihatan diabaikan, jika sakit sudah tentu akan memakan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, hasil tinjauan Bernama di sekitar Kampung Baru, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak akan berhenti menggunakan vapor selagi keputusan kajian belum dikeluarkan.
Seorang Pegawai Perhubungan Awam dari Shah Alam, Saiful Hazim Abdul Razak, 29, ketika ditemui berkata dia tidak akan berhenti menggunakan vapor walaupun mengetahui terdapat bahan berbahaya di dalam vapornya.
Dia menggunakan rokok elektronik jenis ‘Mod Zero Geeco‘ yang dibeli secara dalam talian pada harga RM120.
“Saya tidak akan berhenti, lagipun saya hisap vape ini sesekali sahaja kerana saya bukan perokok tegar. Pada saya ia sebenarnya lebih selamat berbanding rokok biasa,” katanya yang menggemari perisa ‘sirap bandung’.
Seorang juruteknik dari Manjung, Perak, Syafiq Ali, 24, yang merupakan perokok tegar turut tidak mahu berhenti walaupun tidak terlalu ketagih dengan vapor kerana katanya ia tidak memberi kepuasan berbanding rokok biasa.
Dia yang mula menjadi perokok sejak di bangku sekolah, kini sanggup membelanjakan RM500 untuk membeli vapor hanya kerana mahu mengikuti trend terbaharu.
Dalam pada itu, vapor juga dijadikan alasan untuk berhenti merokok bagi Mohd. Luqman Hashim, 26, dari Cheras.
“Saya sudah lima bulan berhenti merokok sejak menggunakan vape ini. Bagi saya vape lebih selamat berbanding rokok,” katanya. – BERNAMA