SERDANG – Kepercayaan terhadap suatu fahaman politik melampau tidak wajar dijadikan pegangan sehingga menjadi punca kepada perpecahan dan ketidakstabilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata golongan berpandangan sebegitu perlu menguruskannya dengan baik supaya ketenteraman awam dan kedaulatan negara terjaga.
“Harus diingat politik adalah khidmat cara bagaimana kita memberi sumbangan kepada rakyat dan ia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk kita berpecah dan bertelagah sepanjang masa.
“Dalam masa kita berbeza pandangan, kita perlu tahu di mana waktu dan ketikanya kita perlu bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain,” katanya semasa merasmikan Seminar On Government and Civilization (Mengenai Kerajaan dan Ketamadunan): Mengurus Perbezaan Politik dan Agama, di Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jamil Khir berkata selain politik, isu agama juga sering mengundang perdebatan dan polemik di mana-mana negara, jika tidak diurus dengan bijak.
Beliau berkata Malaysia juga tidak terkecuali daripada polemik agama, namun tahapnya masih boleh dikawal.
“Bagaimanapun kita tidak boleh berlapang dada dalam hal ini dan sikap toleransi perlu diperkukuhkan lagi bagi memastikan sebarang konflik dapat dielak sebelum berlaku. Proses dialog perlu diteruskan bagi memantapkan lagi kefahaman antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Asyraf Wajdi berkata isu politik dan agama tidak harus dicampur aduk demi kesejahteraan rakyat dan negara.
“Ada segelintir pihak mengaitkan parti dan agama, ini yang akhirnya mengelirukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata agama membenarkan pemimpin ditegur jika membuat kesilapan, namun ia perlu dilakukan secara berhemah dan tidak menjatuhkan air muka mereka. – BERNAMA