IA merupakan sesuatu yang amat menyentuh hati. Bayangkan tanpa kedua-dua tangan, Chen Xinyin dari China masih mampu mengatasi kecacatannya itu untuk menjaga ibunya yang sudah uzur dan lumpuh.
Chen, 48, terpaksa menggunakan kaki untuk menjaga ibunya yang berusia 91 tahun, yang semakin lemah dari hari ke hari.
Malah dia juga menyuap makanan kepada ibunya dengan menggunakan kaki. Itu belum lagi kerja-kerja lain yang dilakukannya seperti memasak, menanam sayur-sayuran dan memelihat kambing.
Chen menjadi kudung selepas tangannya terkena renjatan elektrik ketika dia berusia tujuh tahun. Sejak itu dia terpaksa melakukan semua perkara dengan menggunakan kaki.
Bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 20 tahun manakala abangnya pula telah meninggalkan kampung berkenaan.
Ketika itu ibunya terpaksa bekerja keras bagi menampung kehidupan mereka dan pada masa sama Chen terpaksa belajar untuk membuat semua kerja bagi membantu ibunya.
Pernah seorang jirannya menyarankan agar Chen meminta sedekah namun selain kerana harga diri, Chen menolaknya kerana memikirkan mengenai ibunya.
Walaupun dia cacat, namun Chen kadang kala membantu jirannya yang kesusahan. – MYNEWSHUB.CC