PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad, hari ini mengingatkan tarikh akhir penghantaran penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 03 atau GST-03 bagi tempoh bercukai tiga bulan (1 April hingga 30 Jun) adalah Jumaat ini.
Ia turut menjadi tarikh akhir pembayaran GST bagi tempoh sama, katanya dalam satu kenyataan.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia menasihatkan mereka yang berdaftar dengan GST agar segera mengemukakan penyata berkenaan sebelum tarikh akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Tarikh akhir penyerahan penyata pertama bagi tempoh bercukai tiga bulan pertama itu sepatutnya pada atau sebelum 31 Julai lepas namun dilanjutkan sehingga 14 Ogos ini.
Laporan sebelum ini menyatakan pihak Kastam akan membuat taksiran cukai mengikut peruntukan Seksyen 43 Akta GST 2014 sekiranya syarikat berdaftar GST gagal mengemukakan penyata pada tarikh tersebut. – BERNAMA