JAKARTA – Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI – AL) menahan sebuah kapal kargo dengan muatan ikan dipercayai ditangkap kumpulan warga asing yang dipaksa menjadi nelayan, kata Kementerian Perikanan.
Kapal tersebut berjaya ditahan selepas agensi berita antarabangsa Associated Press (AP) memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai kehadiran sebuah kapal yang mencurigakan itu di perairan Indonesia.
Menteri Perikanan, Susi Pudjiastuti berkata, kapal kargo dengan nama Silver Sea 2 dan berdaftar di Thailand dikesan pada malam kelmarin sebelum dibawa TNI – AL ke sebuah pelabuhan di Pulau Sabang.
AP menggunakan isyarat satelit pada kapal berkenaan untuk mengesan laluan pelayarannya dari perairan negara jirannya, Papua New Guinea sebelum dijejak memasuki perairan wilayah Indonesia.
Pasukan tentera laut Indonesia yang dimaklumkan AP mengenai perkara tersebut bagaimanapun terpaksa mengambil masa selama seminggu untuk mengesan kelibat kapal berkenaan.
Kapal itu mempunyai kaitan dengan satu siasatan AP awal tahun ini mengenai sebuah pulau yang menempatkan warga asing dan mereka dilayan seperti hamba serta dipaksa menjadi nelayan di Indonesia.
Ratusan lelaki warga asing diperdaya dan dijual kepada pengusaha bot nelayan luar negara sebelum mereka diselamatkan pihak berkuasa Indonesia beberapa bulan lalu. – AP/myMetro Online