YAN – Semangat ‘sehati sejiwa’ perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, program seperti Semarak Sehati Sejiwa Komuniti 1Malaysia dapat membina semangat bersatu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang ada.
“Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara, semangat perpaduan tanpa huru-hara atau semangat curiga-mencurigai antara satu sama lain,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Sehati Sejiwa Komuniti 1Malaysia peringkat daerah Yan di sini malam tadi.
Beliau berkata pengisian acara sepanjang berlangsungnya program terbabit diharap dapat memberi impak dan manfaat kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Yan, Mohd Yusri Mohd Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri Kedah sudah merangka pelbagai program sepanjang sambutan bulan kemerdekaan Ogos ini, sehinggalah sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan. – BERNAMA